MISI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air di Sungai Pertak di Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu pada 9 November lalu berakhir selepas mangsa kelapan dan terakhir ditemukan pagi ini.
Penemuan mayat lelaki berkenaan menjadikan kesemua lapan mangsa yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian itu berjaya ditemukan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mangsa ditemukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu di Sektor C.
Katanya, lokasi penemuan itu terletak kira-kira 2.7 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada 10.30 pagi tadi.
“Dengan penemuan mangsa kelapan ini, kesemua mangsa yang hilang telah ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan secara rasmi,” katanya dalam laporan ringkasan operasi yang dikongsikan kepada media hari ini.
Tragedi kira-kira jam 5.30 petang pada 9 November lalu itu berlaku apabila lapan lelaki dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak.
Kesemua mangsa yang terkorban terdiri daripada seorang warga tempatan dan tujuh warga asing dari Yaman, Sri Lanka, Nepal serta India.
Lima mangsa ditemukan sehari selepas kejadian iaitu pada Selasa lalu, manakala mayat keenam, seorang lelaki warga Yemen, ditemukan berhampiran Empangan Sungai Selangor pada Khamis.
Mangsa ketujuh iaitu lelaki warga India ditemukan pada Jumaat lalu sebelum mangsa terakhir ditemukan pagi ini.





