Manifesto: BN tumpu ekonomi rakyat, PH fokus kediaman mampu milik, tingkat pendapatan penduduk

EKONOMI rakyat  khususnya usaha membantu peniaga kecil meningkatkan taraf hidup, menjadi antara fokus Barisan Nasional (BN) dalam merangka manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, maklum balas masyarakat yang diperoleh menerusi pendekatan turun padang akan dijadikan panduan dalam merangka dasar ekonomi yang lebih menepati keperluan rakyat.

Katanya,  pertemuan secara santai bersama penduduk, termasuk ketika bersarapan di kedai kopi, membuka ruang kepada beliau dan calon lain untuk memahami cabaran serta kaedah masyarakat setempat meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

“Kita dapat menyantuni masyarakat dan mendengar pandangan serta cadangan mereka. Kita akan gunakan perkara itu untuk memandu arah dalam merangka dasar berkaitan ekonomi rakyat. Saya amat teruja untuk menyelami kaedah rakyat meneruskan kehidupan dalam suasana yang begitu mencabar,” katanya kepada media di Masjid Tanah.

Beliau berkata, manifesto yang berteraskan ekonomi rakyat itu turut bertujuan menyediakan panduan dan hala tuju bagi membolehkan masyarakat menikmati manfaat daripada dasar yang bakal dilaksanakan.

“Jadi kita nak tengok bagaimana rakyat dapat diberikan panduan dan juga hala tuju bagi mereka menikmati dasar yang kita buat nanti dalam membantu peniaga-peniaga kecil di dalam negeri Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf menjangkakan BN mampu memenangi lebih daripada 21 kerusi yang dimenangi sebelum ini.

“Jangkaan ini dalam peringkat awal lagi. Kita akan terus buat kajian. Saya jangkakan dalam gelombang biru ini, Insya-Allah kita boleh tambah dua atau tiga kerusi lagi,” katanya.

SEMENTARA itu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, isu kos sara hidup, perumahan mampu milik dan peluang pekerjaan menjadi antara keutamaan PH sepanjang PRN itu.

Katanya, maklum balas yang diterima jentera parti setakat hari kedua kempen mendapati pelbagai isu berkaitan keperluan asas masih membelenggu masyarakat setempat.

Beliau yang merupakan Calon PH bagi kerusi DUN Bukit Katil berkata, antara isu utama yang dibangkitkan penduduk termasuk kenaikan bil air, kesukaran memiliki rumah, akses kepada bantuan kebajikan serta peluang pekerjaan dengan kadar gaji setimpal.

“Peniaga kecil pula berdepan tekanan kos sewa premis serta kekangan modal untuk meneruskan perniagaan,” katanya pada sidang media harian di Bilik Gerakan Utama PH Melaka.

Adly yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, PH dijadual melancarkan manifesto dalam tempoh beberapa hari lagi dengan memberi tumpuan kepada aspek kediaman mampu milik, peningkatan pendapatan, sokongan kepada usahawan kecil, kebajikan pelajar serta penyaluran bantuan secara telus.

“Perinciannya akan dibentangkan semasa pelancaran supaya setiap komitmen dapat dinilai sendiri oleh pengundi. Kami mahu mandat ini dibina atas tawaran yang jelas dan bersedia dipertanggungjawabkan,” katanya sambil menambah PH akan terus memperhebat kempen secara bersemuka.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here