MANIFESTO Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan pelbagai inisiatif kepada rakyat daripada bayi, pelajar, belia, keluarga sehingga warga emas disifatkan lebih menyeluruh dan mampu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Rata-rata penduduk ditemui turut berharap kerajaan sedia ada dapat meneruskan dasar serta inisiatif yang diumumkan demi memastikan pembangunan, kebajikan rakyat dan kestabilan negeri terus diperkukuhkan.
Apa pandangan pakcik mengenai kerajaan sedia ada?

Penduduk Kampung Permatang Pasir, Mazlan Zainal, 63: Saya rasa elok kerajaan sekarang diteruskan. Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun) dah tunjuk usaha walaupun baru satu penggal. Kalau diberi peluang lagi, saya harap beliau dapat terus membangunkan Negeri Sembilan. Saya juga harap pengundi, termasuk yang berada di luar kawasan, dapat pulang mengundi demi menentukan masa depan negeri.
Bagaimana pandangan pakcik terhadap manifesto yang ditawarkan?
Mazlan Zainal: Manifesto ini sesuai sebab merangkumi semua golongan. Daripada bayi, kanak-kanak, pelajar, keluarga, warga emas sehinggalah bantuan berkaitan perkahwinan dan kematian, semuanya ada. Saya nampak ia lebih adil kerana mengambil kira keperluan masyarakat secara menyeluruh.
Apakah pandangan puan mengenai kerajaan ketika ini?

Peniaga, Siti Aishah Mustafa, 52: Saya rasa kerajaan sekarang ini baik kerana membawa semangat perpaduan. Sebagai peniaga, saya sendiri pernah menerima bantuan RM3,000 untuk membaik pulih kedai dan membeli keperluan perniagaan. Bantuan seperti ini memang membantu kami.
Bagaimana pula pandangan puan terhadap manifesto yang diumumkan?
Siti Aishah Mustafa: Bagi saya manifesto ini bagus kerana banyak memberi perhatian kepada pendidikan, kesihatan dan masa depan anak-anak. Semua itu penting untuk generasi akan datang dan saya berharap usaha seperti ini dapat diteruskan. Saya harap kerajaan terus memberi perhatian kepada kebajikan rakyat dan memastikan dasar yang baik diteruskan demi masa depan anak cucu serta seluruh rakyat Malaysia.
Bagaimana pandangan puan mengenai manifesto dan hala tuju kerajaan?

Penduduk Kampung Permatang Pasir, Wan Norma Wan Yusoff, 64: Saya suka apabila bantuan diberikan kepada semua golongan, termasuk orang bujang, keluarga dan warga emas. Bagi saya, kerajaan yang dibentuk secara gabungan lebih baik kerana mampu mewujudkan persefahaman serta menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum. Saya juga berharap pentadbiran terus mengutamakan mereka yang benar-benar bekerja untuk rakyat serta memastikan kestabilan negara dapat dikekalkan.





