INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperuntukkan RM494,000 bagi melaksanakan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Maju Jaya, Parlimen Tebrau, Johor Bahru dalam usaha memperkasa ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat.
Program yang disempurnakan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani itu memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu pembangunan infrastruktur, pemerkasaan ekonomi serta kesejahteraan komuniti.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM250,000 diperuntukkan bagi menaik taraf dan membaik pulih Dewan Serbaguna Kampung Maju Jaya supaya dapat menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan kondusif untuk kegunaan penduduk.
Katanya, sebanyak RM200,000 lagi disalurkan menerusi Program Pembangunan Usahawan Komuniti yang membabitkan 10 usahawan tempatan dalam sektor tanaman, ternakan serta industri asas tani dan makanan melalui sokongan perbelanjaan modal (CAPEX).
“Baki RM44,000 pula diperuntukkan bagi Program Hari Komuniti dan Kesejahteraan yang merangkumi aktiviti saringan kesihatan, gotong-royong, penghasilan kompos, tanaman bandar serta bantuan kebajikan kepada warga emas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Zabawi, pendekatan Kampung Angkat MADANI bukan sekadar memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, sebaliknya turut memperkukuh kapasiti ekonomi, kemahiran dan keupayaan komuniti untuk berkembang secara mampan.
Beliau berkata, MARDI melihat Kampung Angkat MADANI sebagai platform untuk memperkukuh kapasiti komuniti melalui pembangunan kemahiran, sokongan kepada usahawan serta penambahbaikan kemudahan yang dapat dimanfaatkan bersama.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen MARDI untuk menyokong pembangunan komuniti secara menyeluruh, merangkumi aspek ekonomi, kemahiran dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau menambah, MARDI turut menghargai kepercayaan Kerajaan MADANI yang memberi ruang kepada agensi itu untuk menyumbang kepakaran dan teknologi secara langsung kepada masyarakat menerusi program berkenaan.
Katanya, pemilihan MARDI sebagai salah sebuah agensi pelaksana Kampung Angkat MADANI membolehkan kepakaran, teknologi, inovasi dan ilmu agromakanan dibawa lebih dekat kepada komuniti.
“MARDI akan terus memastikan kepakaran dan teknologi yang dimiliki dapat dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat, khususnya dalam meningkatkan kapasiti ekonomi dan kemahiran komuniti,” katanya.
Program Kampung Angkat MADANI merupakan antara inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa komuniti serta memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Pelaksanaan di Kampung Maju Jaya turut mendapat kerjasama dan sokongan Parlimen Tebrau di bawah kepimpinan Jimmy Puah Wee Tse serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang diwakili Dr Maszlee Malik.
Sebagai agensi pelaksana, MARDI turut membawa kepakaran penyelidikan, teknologi, inovasi dan ilmu pertanian ke peringkat komuniti bagi membantu meningkatkan kemahiran serta keupayaan ekonomi penduduk.
Dalam masa sama, program berkenaan memberi penekanan terhadap pemindahan teknologi, perkongsian ilmu dan khidmat nasihat teknikal kepada usahawan serta komuniti setempat.
Menerusi khidmat nasihat itu, usahawan berpeluang mendapatkan bimbingan daripada pegawai dan pakar MARDI berkaitan aspek pertanian, teknologi, pengeluaran, pemprosesan serta pembangunan perniagaan mengikut keperluan masing-masing.
Usaha berkenaan diharap dapat membantu usahawan meningkatkan produktiviti, memperkukuh keupayaan perniagaan serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bersesuaian bagi menghasilkan produk yang lebih berdaya saing.
Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Maju Jaya turut mencerminkan usaha MARDI memastikan teknologi, kepakaran dan ilmu pertanian dapat diterjemahkan kepada manfaat secara langsung kepada komuniti.
MARDI berharap pendekatan berkenaan dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih berdaya tahan, produktif, berpengetahuan dan sejahtera, selaras dengan aspirasi pembangunan Malaysia MADANI.
MARDI turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Parlimen Tebrau, DUN Puteri Wangsa, pihak Kampung Maju Jaya serta komuniti setempat atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program berkenaan.





