FORUM Strategik Massa (FSM) dan Legasi Research dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara serta Persatuan Pelajar Kejuruteraan, Pusat Pengajian Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini menganjurkan Wacana Rukun Negara: Perpaduan Asas Kemerdekaan sempena Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat Pusat Pengajian Asasi UIAM Gambang.
Program yang berlangsung pada Sabtu lalu di Dewan Al Khawarizmi, Pusat Pengajian Asasi UIAM Gambang itu dirasmikan oleh Pengarah UIAM Kampus Kuantan, Prof Dr Jamaluddin Ab Rahman.

Yang turut hadir, Timbalan Dekan (Akademik dan Pengantarabangsaan) Pusat Pengajian Asasi UIAM, Dr Taifunisyam Taib; Pengerusi FSM, Datuk Abdul Aziz Ishak selain pensyarah dan staf UIAM Gambang.
Wacana berkenaan memberi penekanan terhadap kepentingan perpaduan dan keharmonian dalam menjamin kestabilan serta kemerdekaan negara, di samping menyantuni golongan muda, khususnya pelajar Pusat Pengajian Asasi Kejuruteraan UIAM.

Program itu turut bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia menerusi penghayatan nilai-nilai Rukun Negara yang dilihat semakin kurang diberikan perhatian dalam kalangan generasi muda.
Sambutan terhadap program berkenaan amat menggalakkan apabila seramai 320 peserta secara sukarela terdiri daripada pelajar Pusat Pengajian Asasi UIAM Gambang dan para pensyarah hadir menjayakan wacana tersebut.

Wacana kali ini menampilkan Dekan Kulliyyah Kejuruteraan UIAM, Prof Madya Dr Khairul Azami Sidek sebagai moderator.
Sementara itu, barisan panelis terdiri daripada Pengarah Urusan FSM, Anuar Shaari; Pensyarah Kanan Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM, Dr Lau Zhe Wei serta Naib Presiden Persatuan Pelajar Kejuruteraan, Pusat Pengajian Asasi UIAM Gambang, Syazlin Hanin Syahrul.
Selain sesi wacana, program turut diserikan dengan kuiz bertemakan kemerdekaan dan kepelbagaian masyarakat Malaysia yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Kejuruteraan, Pusat Pengajian Asasi UIAM Gambang.
Para pemenang kuiz diraikan dengan pemberian hadiah hasil inisiatif para pelajar sendiri, sekali gus menambahkan kemeriahan program yang berteraskan semangat patriotisme, perpaduan dan kebersamaan.





