Penemuan mayat lelaki di Sungai Division dipercayai mangsa bunuh

SEORANG lelaki yang ditemukan mati di kawasan Kampung Sungai Divison di Sungai Petani pada Ahad lalu dipercayai menjadi mangsa bunuh.

Ini berdasarkan siasatan awal polis yang mendapati kematian lelaki berusia lingkungan 30-an itu mempunyai unsur jenayah selepas bedah siasat dilakukan dan mayat berkenaan dipercayai baru sahaja meninggal dunia ketika ditemukan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, anggotanya yang bertugas di Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada jam 6.55 petang pada 23 Ogos lalu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) Balai Polis Sungai Petani ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, setakat ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Menurut Hanyan, berikutan itu, polis turut meminta mana-mana individu yang mempunyai ahli keluarga dilaporkan hilang dan mengesyaki mereka mungkin mempunyai kaitan dengan penemuan mayat itu supaya tampil ke balai polis untuk membantu proses pengecaman.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu juga diminta tampil membantu siasatan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dijadual mengadakan sidang media berhubung kes berkenaan pada jam 2 petang esok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here