Maritim bantu pindah remaja parah dari Langkawi ke Alor Setar

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan pelayaran ihsan membawa seorang remaja lelaki yang parah dalam kemalangan jalan raya dari pulau ini ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, hari ini.

Muhammad Amin Shahfuwan Ahmad Zamri, 19, sebelum itu menerima rawatan awal di Hospital Sultanah Maliha (HSM) sebelum dirujuk ke HSB bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, aset digerakkan menerusi Pusat Sub-Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi bagi melaksanakan operasi pemindahan pesakit berkenaan ke tanah besar.

“Pesakit yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) terlebih dahulu distabilkan pasukan perubatan HSM sebelum proses pemindahan dilaksanakan menggunakan bot Penggalang 2.

“Keadaannya terus dipantau sepanjang perjalanan dengan rawatan sokongan diteruskan pasukan perubatan bagi memastikan pesakit kekal stabil sehingga tiba di hospital destinasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Romli berkata, penggunaan aset Maritim Malaysia bagi operasi berkenaan dilaksanakan hasil koordinasi antara MRSC Langkawi, pihak hospital dan pasukan perubatan.

Menurutnya, koordinasi itu bagi memastikan proses pemindahan pesakit berjalan dengan selamat, lancar dan teratur.

Beliau berkata, kesiapsiagaan Maritim Malaysia bukan sekadar tertumpu kepada tugas penguatkuasaan dan keselamatan maritim, malah turut merangkumi pelaksanaan misi bantuan kemanusiaan.

“Bantuan seumpama ini amat penting terutama apabila membabitkan nyawa dan keselamatan orang awam,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here