SELEPAS dua hari gerakan mencari dan menyelamat dilakukan, mayat seorang lelaki yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang akhirnya ditemukan kira-kira lapan kilometer berhampiran sebuah jeti di Pangkalan Weld, Georgetown hari ini.
Mayat Elmi Nur Zamani Aizat Abdul Azim ditemukan pada jam 9.35 pagi selepas dipercayai terjatuh pada Ahad lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mayat mangsa yang berusia 25 tahun dibawa ke jeti Jabatan Laut, Batu Uban dan kes ini diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat yang turut membabitkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Bomba Sukarela ditamatkan pada jam 11.45 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Mayat lelaki terbabit kemudian dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, abang ipar mangsa yang dikenali sebagai Fitri, 25, berkata, dia dan isteri tinggal bersama arwah.
“Arwah bekerja sebagai pembantu peniaga di pasar malam dan seorang yang ceria serta baik hati. Kami gembira tinggal bersama dan dia juga seorang yang suka membantu.
“Mengenai maklumat yang tidak tepat di media sosial, saya tidak boleh menyekatnya cuma berharap ia dihentikan segera,” katanya.
Sementara itu, isteri mangsa, Nurul Natasha Amyra Ishak, 19, ketika dihubungi berkata, dia menerima maklumat penemuan mayat suaminya pada jam 9.50 pagi.
“Mayat suami saya sudah ditemui dan dihantar ke HPP untuk proses bedah siasat,” katanya.
Terdahulu, menerusi akaun TikTok, Nurul Natasha memaklumkan bahawa dirinya reda, namun jika benar suaminya sudah pergi, dia hanya berharap supaya jasadnya timbul.
“Jujur sayang hati cuma rindu, saya ikhlas tapi kalau awak pergi, timbullah jasad awak sayang. 25 Februari lepas awak dapat cahaya mata yang kedua, tahun ni jugak awak tinggalkan dia. Selama tujuh bulan Allah pinjamkan awak kepada baby sayang,” tulisnya.
Media pada Ahad lalu melaporkan seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh di Kilometer 2.8, Jambatan Pulau Pinang dari arah pulau menghala ke Perai.


