PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pegawainya menghulurkan bantuan segera kepada dua wartawan yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Perak, hari ini.
Kedua-dua wartawan berkenaan iaitu Nur Afiradina Arshad daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Zahratulhayat Md Arif dari New Straits Times (NST).
Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau menerima berita mengenai kemalangan yang menimpa kedua-dua pengamal media itu ketika mereka dalam perjalanan untuk membuat liputan program di Bagan Datuk.
“Mendoakan agar segala urusan rawatan mereka dipermudahkan, dikurniakan kesembuhan yang baik dan segera pulih seperti sedia kala.
“Saya juga sudah mengarahkan pegawai saya untuk menghulurkan bantuan segera yang diperlukan kepada kedua-duanya,” katanya dalam hantaran itu.
Perdana Menteri turut mendoakan agar keluarga kedua-dua mangsa diberikan ketabahan serta segala urusan mereka dipermudahkan dalam menghadapi ujian berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi tadi, kedua-dua wartawan terbabit dalam perjalanan untuk membuat liputan program yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Akibat kemalangan itu, Afiradina mengalami kecederaan dan menerima rawatan di zon kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), manakala Zahratulhayat mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.





