PERGELANGAN tangan kanan anggota polis yang putus selepas ditetak seorang lelaki warga asing dalam kejadian di Desa Aman Puri, Kepong petang semalam berjaya disambung semula menerusi pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan perkembangan positif itu, termasuk keadaan anggota berkenaan yang dilaporkan sudah sedar dan ibu jarinya mula menunjukkan sedikit pergerakan.

Anggota terbabit, Lans Koperal Theirry Rodger Fendy, 26, bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Facebook rasmi hari ini, mangsa mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya terputus selepas ditetak suspek ketika menjalankan tugas.
“Mangsa pada awalnya dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke HKL bagi menjalani pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanannya.
“Dalam lawatan tersebut, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Tan Sri Mohd Khalid Ismail turut menzahirkan keprihatinan terhadap keadaan anggota berkenaan serta memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada beliau dan keluarga,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Mohd Khalid dan Saifuddin Nasution turut meluangkan masa melawat anggota berkenaan bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan kesihatannya.
Selain Shazeli, yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kepolisan Am/Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Kepolisan Komuniti Bukit Aman, Datuk Suryani Sungit serta Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Mohammad Mashdik Yahya.
Selain itu, hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Sazalee Adam; Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin dan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin.





