PM ucap takziah pemergian Zhu Rongji, `saya kehilangan sahabat baik’

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian bekas Perdana Menteri China, Zhu Rongji yang meninggal dunia pada usia 97 tahun telah meninggalkan legasi besar dalam transformasi ekonomi negara itu.

Perdana Menteri berkata, pemergian Zhu disifatkan sebagai kehilangan seorang tokoh penting yang memainkan peranan besar dalam mempercepatkan kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dunia.

“China telah kehilangan salah seorang arkitek hebat transformasi ekonominya, dan saya telah kehilangan seorang sahabat baik,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook malam ini.

Menurut Perdana Menteri, pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan Zhu membantu mempercepatkan perkembangan luar biasa China sehingga muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi.

Katanya, hubungan kerja antara beliau dan Zhu terjalin erat pada era 1990-an ketika mereka bersama-sama berusaha memperkukuh hubungan ekonomi dan kewangan antara Malaysia dengan China.

“Pada 1990-an, Zhu dan saya bekerjasama untuk memperdalam hubungan ekonomi dan kewangan antara Malaysia dan China. Sebahagian besar perkara yang kami bina pada era itu masih menjadi asas kepada hubungan kedua-dua negara sehingga hari ini,” katanya.

Namun kata Anwar, kenangan terhadap Zhu bukan hanya berkisar mengenai urusan rasmi dan hubungan antara kerajaan.

Menurut beliau, Zhu pernah mengatur lawatan ke kampung halaman Confucius, selain membawa beliau mengunjungi Tai Shan (Gunung Tai) serta beberapa lokasi bersejarah yang mempunyai kaitan dengan Laksamana Cheng Ho.

Dalam satu lagi kesempatan, kata Anwar, Zhu turut memberikan kejutan ketika berkunjung ke perpustakaan peribadinya dengan menghadiahkan beberapa karya klasik China yang dipilih sendiri oleh bekas Perdana Menteri China itu.

“Buku-buku itu masih saya simpan sehingga hari ini,” katanya.

Perdana Menteri menyifatkan Zhu sebagai seorang negarawan yang disegani, namun lebih mengingatinya sebagai seorang insan yang mempunyai peribadi unggul dan rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap negaranya.

“Zhu merupakan seorang negarawan yang hebat, tetapi saya akan mengingatinya lebih daripada itu, iaitu sebagai seorang yang mempunyai perwatakan yang tinggi dan didorong rasa tanggungjawab yang kuat terhadap negaranya,” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada isteri dan anak-anak Zhu, selain seluruh rakyat China atas kehilangan tokoh berkenaan.

“Takziah yang sedalam-dalamnya saya ucapkan kepada isteri, anak-anak beliau serta rakyat China,” katanya.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Zhu meninggal dunia pada usia 97 tahun.

Zhu berkhidmat sebagai Perdana Menteri China dari 1998 hingga 2003 dan memainkan peranan penting dalam usaha membawa negara itu menyertai Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Penyertaan berkenaan membuka peluang kepada kilang-kilang China menembusi pasaran antarabangsa, selain membantu menarik pelaburan asing dan meletakkan asas kepada pertumbuhan ekonomi pesat negara itu.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here