KETUA UMNO Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos memohon maaf kepada Khairy Jamaluddin di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebagai sebahagian penyelesaian saman fitnah yang difailkan bekas menteri itu tiga tahun lalu.
Jamal membacakan kenyataan permohonan maaf di depan Hakim Anand Ponnudurai, merujuk sidang media diadakan di Pusat Dagangan Dunia pada 14 Jan 2023 ketika Perhimpunan Agung Umno 2022, yang rakamannya turut dimuat naik ke akaun Facebook dan TikToknya.
Dalam sidang media itu, Jamal mengaitkan Khairy dengan amalan rasuah dan mendakwa bekas ketua Pemuda Umno itu membayar perwakilan parti untuk mencetuskan kekecohan.
Jamal mengakui di mahkamah bahawa kenyataannya terhadap Khairy adalah palsu dan tidak berasas.
“Saya juga mengakui kenyataan itu membawa maksud Khairy Jamaluddin tidak mempunyai integriti dan kredibiliti sebagai seorang pemimpin, serta beliau terbabit rasuah, yang sama sekali tidak benar.’’,
Jamal menyuarakan kekesalan atas tindakannya, dengan berkata ia menjejaskan reputasi dan kredibiliti Khairy.
Beliau turut menawarkan permohonan maaf tanpa syarat kepada Khairy atas kesulitan dan kesusahan dialami, serta berjanji tidak akan mengulangi kenyataan itu kelak.
Jamal juga bersetuju memadam kenyataan itu daripada akaun media sosialnya. Syarat penyelesaian, termasuk kos, tidak didedahkan.
Beliau kemudian meminta kebenaran mahkamah untuk bergambar dengan Khairy di dalam mahkamah, tetapi ditolak hakim.
Khairy diwakili peguam Harshaan Zamani, Shakeel Saifuzzaman, Nur Aizat Noor Azam dan Sheetal Kaur Arwinder Singh, manakala Jamal diwakili Fauzi Abdul Samad, Nasser Yusof serta Imran Tamrin.


