POLIS mengesahkan lelaki yang ditemukan tidak sedarkan diri di hadapan lobi utama Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan pada Sabtu lalu, dipercayai terjatuh dari bangunan hospital berkenaan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Berdasarkan siasatan, lelaki terbabit sebelum ini pernah menerima rawatan berkaitan masalah kesihatan mental di hospital berkenaan dan tiada sebarang unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mengesahkan lelaki terbabit bukan pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital berkenaan atau kakitangan jabatan itu.
JKN Pahang dalam kenyataan memaklumkan, lelaki dewasa itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 10 pagi.
Pasukan perubatan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAA menjalankan pemeriksaan, sebelum mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia.






