MISTERI kehilangan seorang lelaki warga emas sejak awal pagi tadi terjawab apabila mangsa ditemukan lemas di dalam sungai berhampiran sebuah hotel di Taman Kota Laksamana, Melaka, hari ini.
Mangsa yang berusia lingkungan 70-an ditemukan pasukan penyelamat kira-kira jam 11.45 pagi, tidak jauh dari lokasi dia dipercayai terjatuh ke dalam sungai.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.10 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah tiba di lokasi enam minit kemudian.
Menurutnya, maklumat awal memaklumkan mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 5.45 pagi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, beberapa barang peribadi milik mangsa ditemui berhampiran sungai.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi serta menggunakan kaedah water surfing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa berjaya ditemukan pada jam 11.45 pagi tidak jauh dari lokasi dilaporkan hilang.
Katanya, kerja mengangkat mangsa ke darat dijalankan bersama anggota polis sebelum menunggu ketibaan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengesahkan kematian.
Operasi SAR itu melibatkan 12 anggota bomba terdiri daripada enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), selain dibantu anggota PDRM.
“Tiada sebarang masalah dilaporkan sepanjang operasi dijalankan,” katanya.






