MISTERI penemuan sebuah tong biru yang disimen di kawasan rizab berhampiran Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah, Ahad lalu terbongkar selepas rangka dan tengkorak manusia di dalamnya disahkan menerusi pemeriksaan bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar, berkata pemeriksaan bedah siasat yang memasuki hari kedua hari ini mengesahkan rangka dan tengkorak berkenaan adalah milik manusia.
Katanya, pakaian lengkap termasuk kain, baju dan seluar turut ditemukan bersama rangka berkenaan.
“Jantina dan punca kematian masih belum dikenal pasti dan polis masih menunggu hasil lanjut pemeriksaan bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor TV3.
Menurutnya, tong berkenaan dipercayai ditutup dengan simen dan rangka terbabit dianggarkan berada di dalam tong itu sekurang-kurangnya tiga minggu.
Penemuan itu dibuat tiga pemancing berusia antara 25 hingga 35 tahun kira-kira jam 11.40 pagi ketika berada di kawasan empangan berkenaan.
Mereka yang curiga dengan keadaan tong terbabit kemudian memotong sedikit bahagian atas sebelum terlihat sesuatu yang dipercayai tulang manusia, lalu menghubungi polis.
Pemeriksaan awal polis mendapati terdapat kesan simen pada bahagian atas tong, manakala tengkorak ditemukan berasingan tanpa tisu yang melekat.





