SEORANG lelaki etnik Rohingya ditahan ketika memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza tanpa lesen memandu dalam Op PeWa yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, malam tadi.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam hasil aduan orang awam serta risikan yang dijalankan anggota penguat kuasa.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek yang bekerja sebagai tukang rumah dan turut mengusahakan sebuah kedai runcit memandu kenderaan berkenaan tanpa memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL).
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati kenderaan berkenaan dipercayai dibeli daripada seorang warga tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, JPJ mengeluarkan saman terhadap pemandu terbabit selain menyita Toyota Avanza itu untuk siasatan lanjut.
Katanya, pemilik asal kenderaan yang juga warga tempatan turut akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang kerana dipercayai membenarkan kenderaan itu digunakan secara menyalahi peraturan.
“JPJ Kedah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membenarkan kenderaan mereka dipandu individu yang tidak memiliki lesen memandu yang sah.
“Tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah akan diambil terhadap pihak yang didapati melanggar undang-undang,” katanya.






