PEMIMPIN Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei berada dalam keadaan sihat sepenuhnya selepas mengalami kecederaan semasa serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel yang menyasarkan kompleks kepimpinan Iran pada permulaan perang awal tahun ini, kata seorang pegawai kanan Iran.
Kenyataan itu merupakan pendedahan awam pertama yang memperincikan keadaan kesihatan Mojtaba Khameneio serta keadaan serangan tersebut.
Menurut Fars News Agency, Ketua Pengarah Protokol di Pejabat Pemimpin Tertinggi, Mazaher Hosseini berkata Mojtaba Khamenei cedera semasa serangan pada 28 Februari yang menyasarkan kompleks kepimpinan di Tehran, sebelum beliau kemudiannya dipilih sebagai pemimpin tertinggi.
Hosseini berkata beliau berada di lokasi ketika serangan berlaku dan mengesahkan beberapa kawasan berhampiran turut dibedil, termasuk lokasi di mana beberapa pegawai kanan Iran terbunuh, antaranya bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, yang juga bapa kepada Mojtaba Khamenei.
Beliau menambah bahawa Mojtaba Khamenei tidak berada di dalam dewan kuliah tempat beliau biasanya menyampaikan ucapan ketika pengeboman berlaku, sambil menyatakan lokasi itu kemudian “diratakan” dalam serangan tersebut.
Hosseini turut berkata kediaman Ali Khamenei menjadi sasaran dalam serangan itu, sambil menambah bahawa isteri beliau serta beberapa individu lain terbunuh.
Menurut Hosseini, Mojtaba Khamenei terjatuh akibat gelombang letupan ketika menuju ke kediaman tersebut dan mengalami kecederaan pada tempurung lutut serta bahagian bawah belakang badan.
“Kecederaan belakang beliau bertambah baik sepanjang tempoh ini, dan kecederaan pada tempurung lutut juga akan sembuh tidak lama lagi. Beliau berada dalam keadaan sihat sepenuhnya,” kata Hosseini seperti dipetik Fars.
Beliau turut menafikan spekulasi mengenai kecederaan pada dahi Khamenei dengan menyatakan hanya terdapat “retakan kecil di belakang telinga” yang telah dirawat.
Hosseini menambah bahawa musuh-musuh Iran sedang berusaha mendapatkan rakaman audio, video atau bahan lain berkaitan Motjaba Khamenei “untuk melancarkan tindakan terhadap beliau”, sambil berkata pemimpin Iran itu akan berucap kepada rakyat pada “masa yang sesuai”.
Mojtaba Khamenei dipilih sebagai pemimpin tertinggi Iran pada 9 Mac selepas bapanya, Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan AS-Israel pada 28 Februari. Sejak memegang jawatan itu, beliau hanya berkomunikasi melalui kenyataan bertulis.
Ketegangan serantau meningkat selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari, yang mencetuskan serangan balas oleh Tehran serta gangguan di Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas global.
Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April menerusi usaha pengantaraan Pakistan, namun rundingan pusingan pertama yang diadakan di Islamabad pada 11 April gagal mencapai perjanjian berkekalan. Gencatan senjata itu kemudian dilanjutkan oleh Presiden AS, Donald Trump, tanpa tarikh akhir ditetapkan.
Sejak 13 April, Amerika Syarikat melaksanakan sekatan laut yang menyasarkan pergerakan maritim Iran di laluan strategik itu.


