SUARA AWANG SELAMAT
SEMALAM Awang terbaca satu tulisan yang ditujukan kepada Wan Saiful Wan Jan kerana menyerang Mohamed Azmin Ali dan membangkitkan isu dalaman parti kepada media. Kata penulis tu, apa yang Wan Saiful buat macam strategi ‘jatuh satu jatuh semua’ atau kalau mudah nak faham ‘kalau aku tak dapat, kau pun tak dapat’, ia tidak baik untuk Bersatu. Baguslah penulis tegur macam tu ada betulnya jugak.
Tapi hari ini Malaysiakini dedah satu rakaman suara yang bertujuan ‘menyerang’ Wan Saiful pulak. Jadi maknanya, terdedahlah bahawa dalam Bersatu berpecah dua kumpulan. Satu kumpulan menyokong Muhyiddin Yassin dan satu kumpulan menyokong Hamzah Zainuddin.
Penyebaran rakaman itu bukti bahawa krisis politik dalam Bersatu sudah parah. Kalau sampai ada adegan rakam merakam…ni dah nampak teruk atau mungkin Bersatu tak boleh dipisahkan dengan budaya rakam merakam. Dulu dikaitkan dengan Azmin tapi polis siasat tak ada kes, Azmin pula hari ni kata fitnah.
Tak apalah bab tu Awang ingat lebih baik Azmin saman saja Wan Saiful RM100 juta ke, bukan apa tuduhan beliau tu melibatkan maruah, tak kan nak diam aje.. Yang Awang nak ulas ni, strategi serang menyerang ni tak akan menguntungkan sesiapa. Bersatu akan menjadi betapa haru-biru, parti jadi tak tentu…last-last ‘tutup buku’ – kalah PRU.
Yang akan kena tempias ialah Muhyiddin sebab beliau Presiden parti. Kalau ada penganalisis politik kata krisis yang berlaku sekarang menunjukkan kelemahan kepimpinan Muhyiddin, Awang boleh bersetuju jugak. Sebab krisis dah makin serius. Isu calon PM punya pasal habis porak peranda parti.
Muhyiddin kena selesaikan, panggil dua-dua pihak berdamai. Sebab tiap-tiap hari ini ada saja pemimpin Bersatu buat kenyataan desak Wan Saiful dikenakan tindakan, mereka nak Ahli Parlimen Tasek Gelugor tu dipecat daripada parti. Awang baca kenyataan masing-masing bersemangat betul, baguslah ada semangat macam tu demi nak pertahan maruah parti.
Awang harap semangat ini akan diteruskan dalam membangkitkan isu-isu rakyat atau menegur Kerajaan Madani, jangan dok berani dengan kawan-kawan dalam parti saja. Awang cakap ni bukan maknanya nak masuk belah Wan Saiful, Awang pun tak pernah jumpa beliau, dok baca berita sahaja.
Jadi bila dah semua pemimpin Bersatu di seluruh negara bersuara khususnya bahagian-bahagian, tak kan ‘Abah Presiden Pengasas’ tak bersuara lagi? Muhyiddin kena ‘handle’ isu konflik dengan segera sebab imej Bersatu dah ‘nak lebur’ ..sampai jadi bahan jenaka …’ Bersatu yang tak bersatu’.
Bersatu tak payahlah nak sembang-sembang tinggi sangat termasuk nak jadi PM ke, tubuh kerajaan ke, nak tawan Selangor ke…letak tepi sekejab, sebab sampai hari ini Awang tak nampak semua tu akan jadi kenyataan…selesaikan dulu konflik tuduh menuduh, serang menyerang antara dalam parti. Kalau Muhyiddin rasa dah tak boleh nak kawal, bagilah kat sapa-sapa yang boleh damaikan Bersatu yang dah jadi ‘haru-biru’ tu.
Mungkin ada yang tanya pasal apa Awang dok tuju kat Muhyiddin sahaja…habis tu Awang nak cadang kat sapa lagi. Muhyiddin adalah ‘Bapa Presiden Pengasas’ – beliau paling layak untuk selesaikan.
Tak kan nak suruh Hamzah pulak..nanti ada kata Timbalan Presiden nak ‘membayangi’ Presiden..kemaruk nak jadi PM,nak suruh Azmin beliau hanya Setiausaha Agung..banyak kerja nak urus…, Pas tak boleh campur sebab ni urusan dalaman Bersatu…nanti ada pula orang kata ‘jangan bagi musuh masuk rumah kita ajar kita macam mana nak susun barang’…
Oleh itu Muhyiddin lah kena bertindak. Sebab krisis tu dah masuk ‘level’ Presiden kena uruskan. Ia ujian kepada bekas Perdana Menteri itu untuk menunjukkan beliau masih ada pengaruh, sokongan dan dihormati dalam Bersatu. Kalau itu pun tak boleh….biar Pas saja urus PN..Awang tegur ikhlas sebab ‘budaya luar’ dah porak perandakan Bersatu…Siapa bawa budaya tu? Carilah sendiri..
Awang – dok perhati musuh dalam selimut



