Myanmar perlu bertindak, Malaysia tidak boleh tanggung beban Rohingya bersendirian

TANGGUNGJAWAB menyelesaikan isu pelarian Rohingya tidak harus dipikul oleh Malaysia semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen serta tindakan nyata daripada Myanmar bagi menangani punca krisis berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan menerusi usaha diplomatik dan kerjasama kemanusiaan, namun ia perlu disertai sokongan berterusan daripada ASEAN serta masyarakat antarabangsa.

Menurut beliau, usaha penghantaran pulang etnik berkenaan hanya dapat direalisasikan sekiranya keadaan di Myanmar membolehkan proses tersebut dilaksanakan secara selamat, sukarela, bermaruah dan mampan.

“Di peringkat dua hala, Malaysia terus berinteraksi dengan pihak Myanmar bagi menggalakkan langkah yang menyokong kepulangan etnik Rohingya ke Myanmar.

“Penekanan turut diberikan kepada jaminan hak, perlindungan dan peluang yang saksama supaya melegakan mereka untuk membina semula kehidupan di tempat asal tanpa diskriminasi atau pengecualian,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Buletin TV3.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berhubung jaminan dan mekanisme diplomatik bersama Myanmar bagi memastikan penghantaran pulang pelarian Rohingya dapat dilaksanakan.

Mengulas mengenai peranan serantau, Mohamad menjelaskan bahawa ASEAN terus berpegang kepada Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai kerangka utama untuk menghentikan keganasan, memperluas bantuan kemanusiaan dan menggalakkan dialog inklusif.

Tambah beliau, Utusan Khas Pengerusi ASEAN Mengenai Myanmar, Tan Sri Othman Hashim kini giat mendorong pelaksanaan 5PC secara bermakna demi memulihkan keamanan serta kestabilan di negara berkenaan.

Selain itu, Malaysia turut menyokong penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa diskriminasi kepada penduduk yang terjejas menerusi Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here