MyKad versi baharu dilengkapi 53 ciri keselamatan dikeluarkan mulai esok

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan MyKad versi baharu dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 sebelum ini mulai esok.

MyKad generasi baharu itu adalah evolusi identiti nasional yang melangkah seiring dengan perubahan zaman.

JPN menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, bermula esok sebanyak 40 cawangan JPN yang dilengkap pusat cetak di seluruh negara bersedia mengeluarkan MyKad generasi baharu dengan tempoh siap pada hari yang sama.

“Selepas lebih dua dekad, kini tiba masanya untuk satu generasi baharu mengambil tempat membawa pembaharuan pada reka bentuk, struktur dan ciri keselamatan MyKad,” kata kenyataan itu.

Menurut JPN, penambahbaikan yang diperkenalkan termasuk penggunaan kod QR bagi tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, teknologi hologram, teks mikro, ciri keselamatan ultraungu, turihan laser serta cip dengan tahap enkripsi yang lebih tinggi.

MyKad baharu dijangka mampu meningkatkan keupayaan pengesahan identiti, selain mengurangkan risiko pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.

Media sebelum ini melaporkan, MyKad baharu akan dikeluarkan di ibu pejabat JPN di Putrajaya serta 18 pejabat JPN terpilih, melalui sistem janji temu sebelum diperluas secara berperingkat ke seluruh negara.

Pendekatan berfasa itu bertujuan memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan teratur, serta mengelakkan kesesakan di kaunter.

Sehubungan dengan itu, JPN menasihati orang ramai tidak perlu tergesa-gesa untuk menukar MyKad masing-masing, memandangkan pelaksanaan dilakukan secara berperingkat dan tidak membabitkan pertukaran serentak.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here