PUSAT Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Inanam Sentral yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini melengkapkan keseluruhan 132 NADI di Sabah termasuk 14 NADI baharu, menjadikan jumlah rangkaian pusat itu di seluruh negara kini 1,099 pusat.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kenyataan berkata, pencapaian itu merupakan satu langkah penting dalam memastikan lebih ramai rakyat, khususnya masyarakat luar bandar, dapat mengakses peluang pembelajaran, pembangunan kemahiran, pekerjaan dan ekonomi digital tanpa perlu meninggalkan komuniti mereka.
‘’Antara inisiatif yang diberi tumpuan ialah program 1 NADI 1 Prompt Engineer yang telah disertai oleh seramai 1,247 peserta di seluruh negara, termasuk 509 penyertaan di Sabah setakat ini,’’ kata kenyataan tersebut.
Turut hadi pada perasmian itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Ts. Mustapha Sakmud, serta wakil agensi dan komuniti setempat.
Menurut MCMC, program itu memberi peluang kepada komuniti untuk memahami dan menggunakan kecerdasan buatan (AI) secara praktikal, di samping membangunkan kemahiran yang semakin diperlukan dalam pasaran pekerjaan masa kini.
Kejayaan ini kata MCMC turut mencerminkan evolusi NADI daripada pusat akses digital kepada hab pembangunan bakat dan kemahiran masa hadapan.
‘’Pendedahan kepada kemahiran ini turut membuka laluan kepada pensijilan, pekerjaan bernilai tinggi dan peluang bekerja dari jarak jauh, khususnya bagi masyarakat luar bandar.
‘’Usaha ini berpotensi melahirkan lebih ramai pekerja berpengetahuan (knowledge workers) yang mampu membina kerjaya tanpa perlu berhijrah ke bandar, di samping menjana pendapatan dan menyumbang kepada pembangunan komuniti masing-masing,’’ kata MCMC.
MCMC berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa majlis pengiktirafan Digital Transformation Centres (DTC) oleh International Telecommunication Union (ITU) di Pulau Pinang menegaskan, agar tiada rakyat tercicir dalam era digital.
‘’Keberkesanan pendekatan ini turut diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes, termasuk kejayaan inisiatif keterangkuman digital di Pulau Banggi, Sabah,’’ kata MCMC.





