Nahas helikopter : FDS pastikan penduduk pedalaman Sarawak dapat akses rawatan kesihatan

PASUKAN Flying Doctor Services (FDS) yang terlibat dalam insiden helikopter terhempas di Long Lellang petang ini merupakan antara perkhidmatan penting dalam memastikan penduduk di kawasan pedalaman Sarawak mendapat akses kepada rawatan kesihatan.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), FDS yang diperkenalkan di Sarawak pada 1973 menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti di kawasan terpencil dan sukar diakses.

Menerusi lawatan berkala, FDS bukan sahaja menyediakan rawatan kepada penduduk, malah melaksanakan penghantaran ubat-ubatan dan vaksin serta misi evakuasi perubatan bagi pesakit kritikal.

Pada 8 April lepas, Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Veronica Lugah dilaporkan berkata inisiatif FDS di negeri itu akan terus diperkasa bagi memastikan penduduk pedalaman mendapat perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Beliau berkata ketika ini terdapat 97 lokaliti yang memerlukan khidmat FDS, meliputi kawasan pedalaman di Kapit, Miri dan Limbang yang kebanyakannya masih sukar diakses serta jauh daripada jaringan jalan raya yang baik.

“Kekerapan lawatan ke kawasan pedalaman ketika ini adalah sekali sebulan, manakala bagi sesetengah lokasi kita laksanakan sekali setiap dua bulan bergantung kepada keupayaan operasi semasa.

“Walaupun berdepan cabaran logistik, perkhidmatan ini tidak terjejas dan akan diteruskan kerana ia amat diperlukan oleh penduduk pedalaman,” katanya.

Dr Veronica berkata pasukan FDS terdiri daripada petugas kesihatan termasuk doktor, jururawat serta penolong pegawai perubatan bagi memastikan rawatan dapat diberikan secara menyeluruh.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, hari ini.

Menurut CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi FDS ketika kejadian.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan berkata helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.

Dalam pada itu, Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Galong Luang ketika dihubungi mengesahkan kesemua lima individu di dalam helikopter itu meninggal dunia dalam kejadian kira-kira 3.40 petang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here