POLIS sedang giat mengesan sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata dipercayai melarikan wang tunai serta barangan mewah dianggarkan bernilai RM2.91 juta dari sebuah kediaman mewah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Annas Sulaiman berkata kejadian dipercayai berlaku antara pukul 2 hingga 3 petang di sebuah unit kediaman di Pavilion Embassy sebelum mangsa, seorang lelaki warganegara China berumur 28 tahun membuat laporan polis pada 5.31 petang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati beberapa lelaki bertopeng, bersarung tangan serta bersenjatakan pisau menceroboh masuk ke dalam rumah berkenaan.
“Kumpulan suspek itu melarikan wang tunai, barangan kemas dan jam tangan mewah dengan anggaran nilai kerugian RM2.91 juta, selain turut merosakkan telefon bimbit dan melarikan pasport milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Annas berkata tiada kecederaan serius dilaporkan berlaku ke atas mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.





