SEORANG pemandu lori tangki didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua beranak pada Jumaat lalu.
Tertuduh, Nor Azlan Mahayudin, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan.
Lelaki itu didakwa memandu lori tangki secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12, di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, kira-kira jam 4 petang pada 14 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amal Razim Alias manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Sharifudin.
Dalam kejadian pada 14 Ogos lalu, Allahyarham Nur Fatima Syuhada dan anaknya maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki yang membawa 32,000 liter bahan api.
Nahas berlaku ketika lori tangki dari arah Bera ke Temerloh hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan serta menghempap kereta dinaiki dua beranak terbabit.
Kemalangan menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar dan dua beranak terbabit rentung.





