Belanjawan 2027: Dasar tidak popular perlu demi manfaat jangka panjang – Amir Hamzah

KERAJAAN mengakui usaha menstruktur semula ekonomi memerlukan pelaksanaan dasar yang tidak popular demi kepentingan jangka panjang negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah reformasi fiskal yang dilaksanakan setakat ini termasuk penyasaran subsidi elektrik, peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan sistem e-Invois secara berfasa.

“Usaha menstruktur semula ekonomi bukanlah mudah. Sering kali dasar yang diperkenalkan tidak popular, tetapi perlu dilaksanakan kerana manfaat jangka panjang yang lebih besar kepada negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

Menurut Amir Hamzah, program penyasaran subsidi elektrik yang bermula sejak 2023 dan ditambah baik secara berfasa tidak menjejaskan majoriti rakyat.

Katanya, sebanyak 85 peratus pengguna domestik kekal dilindungi, selain langkah itu menyokong kemampanan sektor tenaga.

Tambah beliau, peluasan skop SST pula menunjukkan impak positif terhadap konsolidasi hasil negara tanpa mengganggu kuasa beli pasaran domestik.

Ia dilaksanakan menerusi pendekatan progresif dan berasaskan prinsip keadilan sosial, ujar beliau.

Sementara itu, Amir Hamzah memberitahu, pelaksanaan sistem e-Invois secara berfasa menjadi tunjang kepada ketelusan ekosistem perniagaan negara.

Katanya, langkah itu bertujuan mengecilkan saiz ekonomi bayangan, meningkatkan kecekapan taksiran dan mempercepat proses tadbir urus percukaian domestik.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here