SEORANG remaja lelaki berusia 17 tahun cedera pada kedua-dua kaki selepas dipercayai terkena tembakan ketika berada di kawasan tadahan air di Long Lidung, Jalan Ba’Kelalan, Lawas, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa dikatakan keluar dari rumah pada jam 5 petang untuk ke kawasan tadahan air yang terletak kira-kira satu kilometer dari kediamannya selepas bekalan air ke rumah terputus.
Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Liong Tindan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.51 pagi, Ahad.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa sedang menebas kawasan sekitar tadahan air berkenaan sebelum tiba-tiba berasa pedih pada kedua-dua belah kakinya.
“Apabila diperiksa, mangsa mendapati terdapat empat luka dipercayai akibat tembakan daripada senjata jenis shotgun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa gagal pulang ke rumah menyebabkan bapanya keluar mencarinya kira-kira jam 8 malam sebelum menemui remaja itu dalam keadaan terbaring dan menahan kesakitan di kawasan hutan berhampiran tadahan air berkenaan.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lawas untuk mendapatkan rawatan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Tindan berkata, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta mengesan individu yang terbabit.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas di talian 085-283037 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.





