Najib dijangka pulang selepas solat Jumaat? Polis siap siaga di kediaman

KEHADIRAN hampir 30 pegawai dan anggota polis di kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pagi ini mencetuskan kemungkinan bekas Perdana Menteri itu dibenarkan pulang bagi menjalani baki hukuman penjara di bawah perintah tahanan rumah.

Persiapan kawalan keselamatan di sekitar kediaman berkenaan mula dilakukan sejak jam 10.30 pagi apabila sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul tiba di lokasi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam bersama timbalannya turut dilihat tiba pada 10.45 pagi bagi meninjau persiapan kawalan berkenaan.

Tinjauan mendapati beberapa kenderaan polis termasuk kereta peronda dan van bergerak ditempatkan di sekitar kawasan itu, selain dua khemah didirikan bagi tujuan penugasan anggota.

Polis turut memasang pita garisan keselamatan bagi menghalang pihak tidak berkaitan menghampiri kediaman berkenaan.

Pihak media yang berada di lokasi juga diminta tidak mendekati rumah Najib, namun dibenarkan membuat liputan dari kawasan simpang masuk ke kediaman itu.

Sementara itu, Anuar Bakri berkata, persiapan berkenaan merupakan langkah awal pihaknya sekiranya Najib dibenarkan menjalani perintah tahanan rumah hari ini.

“Ya, kita buat persediaan untuk kawalan dan pengawasan di sekitar laluan masuk ke kediaman Datuk Seri Najib bermula pagi ini.

“Setakat ini, kami belum memperoleh sebarang maklumat tepat, namun kami bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui pemberita, lapor BH.

Beliau berkata, pemasangan pita keselamatan itu bertujuan mengawal pergerakan orang awam dan menghalang pihak tidak berkenaan menghampiri kediaman terbabit.

Berdasarkan maklumat yang diterima, Najib dijangka tiba di kediamannya selepas menunaikan solat Jumaat petang ini.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi berhubung kepulangan bekas Perdana Menteri itu atau pelaksanaan perintah tahanan rumah berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here