PERJANJIAN Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) bukan sesuatu yang baharu dalam landskap politik negara, malah pendekatan itu pernah dimulakan ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerajui kerajaan dari Ogos 2021 hingga Oktober 2022.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, perbezaan pendirian dan persaingan antara parti politik ketika pilihan raya tidak seharusnya menjadi alasan untuk terus bermusuhan selepas proses demokrasi berkenaan berakhir.
Sebaliknya, beliau berkata, semua pihak perlu bersedia menjalinkan kerjasama demi memastikan kestabilan politik dan kepentingan negara terus terpelihara.
“Kalau waktu pilihan raya bolehlah kita bertentangan, tetapi luar daripada pilihan raya ini tak ada sebab kita nak teruskan permusuhan itu.
“Kalau boleh semua kena kerjasama sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas program walkabout bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Mustafa Musa hari ini, lapor FMT.
Pada 29 Oktober lalu, kerajaan memeterai CSA dengan 13 Ahli Parlimen, membabitkan enam wakil Bersatu yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin, enam bekas wakil parti itu serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Perjanjian berkenaan merangkumi sokongan terhadap Belanjawan 2027 dan agenda reformasi institusi, selain membolehkan wakil rakyat terbabit menerima peruntukan pembangunan kawasan setara dengan Ahli Parlimen kerajaan.
Mengulas sama ada kandungan perjanjian itu wajar didedahkan kepada umum, Ismail Sabri berkata kerajaan boleh berbuat demikian bagi membolehkan rakyat mengetahui serta meneliti perkara yang dipersetujui.
“Kalau kerajaan dedahkan boleh rakyat tengok apa yang terkandung dalam perjanjian tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau melihat hubungan UMNO dan Pas ketika ini mempunyai hala tuju ke arah penyatuan orang Melayu.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa kerjasama BN dan Pas di Melaka mampu membuahkan hasil seperti yang dicapai menerusi kerjasama kedua-dua parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, keyakinan itu berdasarkan sokongan yang ditunjukkan pemimpin Pas di setiap bahagian yang ditandingi calon BN pada PRN Melaka.





