BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di kaunter pembayaran denda Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee hadir di Bahagian Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi sebentar tadi bagi menguruskan pembayaran berkenaan.
Terdahulu, Pegawai Khas Najib, Ahmad Lutfi Azhar dilihat tiba di kompleks mahkamah kira-kira jam 11.30 pagi bagi mengatur urusan pembayaran serta melengkapkan prosedur pentadbiran yang diperlukan sebelum transaksi itu dimuktamadkan.
Pembayaran itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 September lalu, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.
Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Najib perlu menjelaskan denda berkenaan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memandangkan kes itu difailkan dan dibicarakan di mahkamah berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, UMNO mengesahkan kutipan dana menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu sudah mencapai sasaran dan mencukupi bagi menyelesaikan pembayaran denda berkenaan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.
“UMNO secara rasmi menutup akaun khas tabung berkenaan yang diwujudkan bagi menerima sumbangan orang ramai dan mengesahkan tiada lagi keperluan untuk meneruskan kutipan dana awam (crowdfunding) bagi tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli UMNO di seluruh negara serta orang ramai yang tidak putus-putus memberikan sumbangan sejak tabung itu dilancarkan.
Asyraf Wajdi turut melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah atas pencapaian kutipan dana berkenaan.




