Bunuh wanita di kebun sawit, lelaki Filipina dipenjara 30 tahun

SEORANG lelaki warga Filipina dihukum penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi Tawau hari ini selepas mengaku bersalah membunuh seorang wanita di kawasan semak Ladang Ample Land Tingkayu di Kunak, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman terhadap Roger Pasague Cullano, 54, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Jun 2025, selain mengarahkannya dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Tiada hukuman sebatan dikenakan terhadap tertuduh selepas mahkamah mengambil kira faktor usianya.

Ketika prosiding mitigasi, peguam bela Kamarudin Mohmad Chinki memohon hukuman minimum 30 tahun penjara dengan mengambil kira pengakuan bersalah, penyesalan tertuduh, latar belakang keluarga serta peluang untuk menjalani pemulihan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fellanny Siji berhujah hukuman berat wajar dikenakan kerana perbuatan tertuduh mengakibatkan kehilangan nyawa seorang ibu selain meninggalkan trauma kepada anak mangsa yang menemukan mayat ibunya, lapor Harian Metro.

Pendakwaan turut memohon hukuman penjara antara 30 hingga 35 tahun dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh pada peringkat awal prosiding.

Mengikut fakta kes, mangsa, Abigail Diego Mandi, 32, yang juga warga Filipina ditemukan anak lelakinya dalam keadaan tertiarap di bawah timbunan pelepah kelapa sawit dan semak samun kira-kira jam 10 pagi, 13 Jun 2025.

Sebelum kejadian, anak mangsa menghubungi ibunya kira-kira jam 9.26 pagi untuk memintanya mengutip tandan kelapa sawit di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, anak mangsa gagal menemukan ibunya sebelum terserempak dengan tertuduh yang berada berhampiran kawasan itu dalam keadaan badan berlumpur, terdapat kesan darah pada pipi serta memegang sebilah parang panjang.

Selepas kira-kira 20 minit mencari, anak mangsa akhirnya menemukan ibunya dalam keadaan pakaian terbuka serta mempunyai beberapa kesan kecederaan pada bahagian kepala dan muka.

Hasil bedah siasat oleh pakar patologi forensik mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan akibat tetakan pada bahagian dada, kepala, wajah dan kedua-dua tangan, selain kecederaan tikaman serta lebam pada tubuhnya.

Tertuduh ditangkap di kawasan Ladang Briian Tingkayu, Kunak pada 14 Jun 2025 sebelum mengaku membunuh mangsa kerana tidak berpuas hati terhadapnya.

Sebilah parang dan pakaian yang dipakai tertuduh turut dirampas di lokasi berasingan hasil maklumat serta pandu arah tertuduh sendiri sebelum kedua-dua barang itu dikenal pasti oleh anak mangsa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here