NRES cadang tubuh jawatankuasa baharu bendung penyeludupan e-waste

KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bercadang menubuhkan jawatankuasa khas peringkat kebangsaan bagi menangani isu kemasukan sisa elektronik (e-waste) haram.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, beliau telah menandatangani arahan untuk memindah bahan e-waste dari senarai dua ke Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Beliau berkata, arahan yang akan menguatkuasakan larangan mutlak kepada e-waste ini akan memberi kuasa kepada pihak Kastam untuk menghalang kemasukan atau kontena e-waste diturunkan daripada kapal sekiranya sampai di pelabuhan negara.

“Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), JKDM, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Westports Malaysia Sdn Bhd atas kerjasama dalam operasi penguatkuasaan tersebut.

“Kita tidak mahu Malaysia menjadi tempat pembuangan sampah,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Klang semalam bagi meninjau status penahanan kontena yang disyaki mengandungi e-waste.

Lawatan tersebut adalah susulan dapatan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan NRES untuk memperkukuh tadbir urus serta kecekapan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar.

Arthur dalam pada itu menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menjadikan negara ini sebagai destinasi pelupusan e-waste atau buangan terjadual secara haram.

Tegas beliau, Malaysia tidak membenarkan sebarang pengimportan buangan terjadual selaras dengan Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Rentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya.

“Konvensyen tersebut menetapkan bahawa semua aktiviti import, eksport, transit atau pemindahan buangan terjadual perlu mendapat kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar terlebih dahulu.

“Sehingga kini tiada sebarang kebenaran import e-waste dan buangan terjadual lain dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Berdasarkan rekod semasa, daripada 818 kontena yang berada di pelabuhan, sebanyak 605 kontena telah diperiksa setakat ini oleh JAS.

Daripada jumlah tersebut, 503 kontena berada di bawah siasatan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan telah diperiksa menerusi pelaksanaan Ops Dermaga, iaitu operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan JAS bertindak sebagai agensi kes predikat. Sebanyak 213 kontena lagi masih belum diperiksa.

Susulan lawatan tersebut, Arthur turut mengarahkan JAS bersama agensi berkaitan melaksanakan Operasi Bersepadu Khas bagi menangani lambakan kontena yang belum diperiksa dan mengenal pasti secara tepat jumlah kontena terlibat dalam penyeludupan e-waste.

“Kementerian berpendirian teguh, Malaysia bukan tempat buangan sampah,” tegasnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img