Kerajaan akan tetap diserang sama ada dedah atau tidak RCI Tabung Haji – Nurul Izzah

TIMBALAN Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendakwa, Kerajaan Persekutuan akan tetap menerima kecaman tidak kira sama ada laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) didedahkan sebelum atau selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Meski pun demikian, beliau berkata, apa yang penting adalah laporan yang didedahkan itu akan membolehkan rakyat menilai dan memahaminya.

“Ini penting untuk kita memastikan Tabung Haji terus dipelihara pada masa hadapan dan kita mahu setiap umat Islam mampu melaksanakan ibadah haji.

“Pada saya buat tak buat (dedah laporan RCI) kita akan diserang juga. Yang penting adalah ketelusan dan keberanian untuk mendedahkannya. Kini, kita terus ke depan menuju hari pengundian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah di Tokong Si Thian Kong di Kuala Pilah malam ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam menerbitkan laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nurul Izzah berkata, walau apapun yang diramal oleh penganalisis politik berkenaan PRN Negeri Sembilan, keputusan akhir terletak di tangan pengundi.

“Saya berharap pengundi keluar mengundi dan mengekalkan Pakatan Harapan. Saya merayu bagilah peluang kepada Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun) meneruskan agenda pembangunan di Negeri Sembilan,” katanya.

Pada Sabtu ini, sebanyak 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu, yang menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi DUN.

PH bertanding di semua 36 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (BN) (25) dan Bersatu (24), Perikatan Nasional (11), empat calon Bebas manakala Berjasa, Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img