MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa telefon pintarnya kini dipantau dan diintip pihak tertentu.
Beliau berkata, perkara tersebut disedarinya apabila beliau menerima notifikasi amaran daripada pihak Apple berhubung cubaan serangan perisian pengintip atau ‘mercenary spyware’ terhadap telefon pintar yang dikaitkan dengan akaun peribadinya.
“Saya memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan data, kerahsiaan komunikasi, hak peribadi serta cubaan pencerobohan terhadap ruang peribadi seseorang.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengintipan, pencerobohan digital dan penyalahgunaan teknologi untuk tujuan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam hantaran dalam laman Facebooknya .
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN Johor akan membuat laporan polis dan mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurutnya, langkah ini supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan serta tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang.
“Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada sebarang pencerobohan dan penyalahgunaan teknologi yang boleh mengancam keselamatan serta hak peribadi individu,” katanya.
Onn Hafiz sebelum ini mengumumkan, BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang selepas mengambil kira pandangan rakyat serta suara kepimpinan akar umbi, selain perbincangan bersama pucuk pimpinan parti.
Spekulasi mengenai kemungkinan berlaku PRN Johor semakin rancak selepas sidang khas DUN dikatakan akan diadakan pada 24 Jun ini.


