SERAMAI 12 individu ditahan dalam satu operasi bersepadu bagi menumpaskan kegiatan penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) berkaitan proses permohonan serta kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah semalam.
Ketua Pesuruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, individu yang ditahan dalam operasi agensi itu dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM serta seorang pegawai polis.
‘’ Kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan antara jam 2 hingga 5 petang 28 Julai 2026 di Ibu Pejabat SPRM dan JIM Pulau Pinang. Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi permohonan reman,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Halim berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi pas yang dikeluarkan.
‘’Sebanyak 1,306 PLKS palsu telah dikeluarkan, menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan sebanyak RM2.4 juta,’’ katanya.
Beliau berkata, operasi itu adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara Bahagian Perisikan SPRM dan Bahagian Perisikan JIM yang telah dilaksanakan sejak Mei 2026 di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang. Turut membantu dalam operasi ini ialah Cyber Security Malaysia (CSM), Telekom Malaysia dan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM. ‘’
Penggeledahan turut dijalankan di premis syarikat serta pejabat JIM di Pulau Pinang dan Putrajaya. Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 16(a) Akta SPRM 2009,’’ katanya.






