SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan lima lagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki bersubahat menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) berkaitan proses permohonan serta kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Menurut sumber, kelima-lima suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu telah ditahan jam 1 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Siasatan awal mendapati kesemua pegawai ini disyaki bersubahat menggodam MyIMMs di samping membantu dalam proses mendapatkan kelulusan PLKS tanpa mengikut prosedur yang sah.
“Susulan tangkapan itu SPRM telah menyita lima unit telefon bimbit milik kelima-lima suspek,” katanya.
Tambah sumber, sehingga kini SPRM telah mengambil keterangan daripada 17 individu bagi membantu siasatan.
SPRM juga telah mengambil tindakan membekukan sembilan akaun perbankan, empat milik individu dan dua milik syarikat melibatkan nilai kira-kira RM300,000.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan 16 (a) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.






