BEKAS Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke mendakwa, faktor utama kekalahannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu lalu adalah disebabkan penyebaran fitnah yang menyasarkannya sepanjang tempoh kempen.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, saingan untuk kerusi campuran itu paling sukar dihadapinya dalam tempoh 22 tahun bertanding dalam pilihan raya.
“Saya telah bertanding dalam pelbagai pilihan raya. Saya juga telah memenangi semua pilihan raya saya sebelum ini. Tetapi, kempen khusus ini sangat sukar kerana serangan peribadi terhadap saya.
“Ada banyak fitnah dan dakwaan tidak berasas yang mendakwa saya mahu merampas kuasa daripada golongan Melayu, kononnya saya mahu menjadi Menteri Besar, saya mahu menguasai kerajaan negeri.
“Ini semua fitnah yang menyebabkan banyak sentimen negatif dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP di ibu negara malam ini.
Jelasnya, beliau secara peribadi menemui pengundi Melayu dan rata-rata mereka terus bertanya sama ada beliau mahu menjadi Menteri Besar dan ini menunjukkan kesan kempen fitnah terhadapnya.
Anthony malam ini mengumumkan beliau melepaskan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan berikutan kekalahan parti itu di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dan Repah pada PRN Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat sebagai mengambil tanggungjawab atas prestasi parti dalam PRN Negeri Sembilan dan beliau turut menegaskan keputusan itu diambil atas dasar peribadi tanpa tekanan mana-mana pihak.






