15 warga Indonesia ditahan dalam serbuan rumah penampungan di Banting

SERAMAI 15 warga Indonesia ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah penampungan migran di sekitar Banting, Selangor, malam semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia, Lokman Effendi Ramli berkata, operasi khas dijalankan bermula jam 10 malam hasil maklumat awam serta risikan selama tiga minggu.

“Dalam operasi itu, pasukan menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 36 tahun yang dipercayai bertindak sebagai transporter.

“Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan membawa kepada penahanan 15 lagi warga Indonesia terdiri daripada 11 lelaki, tiga wanita serta seorang kanak-kanak lelaki berusia antara satu hingga 46 tahun yang didapati tinggal lebih masa.

“Turut dirampas enam pasport Indonesia, sebuah telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Honda City yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket menggunakan rumah itu sebagai lokasi penempatan sementara sebelum migran dibawa keluar negara melalui laluan tidak diwartakan di sekitar perairan Pantai Morib.

“Sindiket dipercayai dikendalikan seorang lelaki warga Indonesia yang bertindak sebagai transporter dan diselaraskan individu di Indonesia melalui aplikasi WhatsApp.

“Mereka menyasarkan warga Indonesia yang mahu pulang ke negara asal tetapi mempunyai kesalahan imigresen, dengan bayaran kira-kira RM1,500 seorang,” katanya.

Lokman berkata, lelaki yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, manakala semua migran terbabit disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img