SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah gering selepas disahkan dijangkiti virus Influenza A.
Istana Alam Shah dalam kenyataan memaklumkan, jangkitan itu disahkan oleh doktor peribadi yang merawat baginda, Datuk Dr Anuar Onah dan Datuk Dr Tan Hui Meng.
Menurut kenyataan itu, gejala jangkitan mula dikesan pada pagi Jumaat, 30 Oktober lalu apabila baginda mengalami demam panas yang tinggi serta lemah anggota badan.
“Berdasarkan penilaian mereka (doktor), baginda berkemungkinan mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis keramaian dan berinteraksi dengan orang ramai, termasuk di kawasan terbuka,” menurut kenyataan itu menerusi Facebook Selangor Royal Office.
Istana Alam Shah memaklumkan keadaan kesihatan baginda kini beransur pulih, namun masih mengalami demam.
Sehubungan itu, doktor menasihati baginda supaya berehat dan tidak menghadiri sebarang majlis selama lima hingga tujuh hari bagi membolehkan baginda pulih sepenuhnya.
Susulan perkembangan itu, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan ke 7 November depan.
“Semua pihak yang terbabit dimohon mengambil maklum mengenai perubahan tarikh berkenaan. Kerjasama dan perhatian semua pihak amat dihargai.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan supaya Allah SWT mengurniakan kesembuhan segera kepada Sultan Selangor serta melimpahkan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada baginda,” menurut kenyataan itu.




