POLIS Melaka mengingatkan orang ramai mematuhi garis panduan etika pakaian rasmi ketika hadir di kaunter mana-mana balai polis di negeri itu untuk membuat aduan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, peraturan berkenaan sepatutnya wajar dipatuhi kerana garis panduannya telah diperincikan dalam pekeliling dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara berkaitan hubungan pelanggan di semua agensi sektor awam.
“Namun, polis memberi kelonggaran bagi kes melibatkan kecemasan serta memerlukan tindakan pantas polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan tindakan seorang wanita yang membuat laporan mendakwa dilarang memasuki sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) di negeri ini semalam kerana pakaiannya dianggap tidak sesuai untuk memasuki premis kerajaan.
Dzulkhairi berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 5 petang apabila dua wanita tiba untuk membuat laporan mengenai satu kes kemalangan jalan raya.
“Anggota polis yang bertugas di pintu hadapan IPD itu meminta mereka pulang menukar pakaian bersesuaian memandangkan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan mendapati pada 5.40 petang, wanita itu datang semula ke balai polis bersama ibunya dengan berpakaian lebih sopan dan dibenarkan masuk membuat laporan,” kata beliau.


