TINDAKAN memajak empat hotel di Mekah dan Madinah dengan Syarikat Arab Saudi, Al Rawda merupakan antara 14 pelaburan bermasalah yang dikenalpasti dikaitkan dengan kerugian berbilion ringgit Lembaga Tabung Haji (TH).
Perkara itu ditegaskan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai TH dalam laporannya.
Dapatan RCI TH itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dr Zulkifli Hasan ketika memberi penerangan pada Mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, pelaburan lain yang dikenalpasti bermasalaha ialah Putrajaya Perdana, PT TH Indo Plantations (THIP), Trurich dan FGV yang melibatkan kepentingan pihak-pihak tertentu.
‘’Pelaburan yang terlibat diluluskan Menteri setelah diperakui dan disyor oleh Lembaga Pengarah untuk kelulusan sepanjang tempoh antara 2010 hingga 2017,’’ katanya.
Beliau berkata, pada 2015, 2016, dan 2017, TH telah memajak empat hotel di Mekah dan Madinah dan telah membayar kira-kira RM1.55 billion secara upfront kepada Al-Rawda bagi pajakan selama 10 hingga 18 tahun.
Sambil menyifatkan ia sebagai satu transaksi yang luar biasa dan tidak ‘normal’, Dr Zulkifli berkata, tidak cukup dengan itu, TH telah melantik Al-Rawda sebagai pengendali hotel bagi ke empat-empat hotel tersebut melalui Perjanjian Pengurusan dan Operasi dengan pendapatan sewa pajakan berjumlah SR2,490 juta.
‘’Sebagai balasan, TH hanya mendapat Nota Janji (Promissory Note atau PN) yang dijamin secara peribadi oleh Dr. Mashhoor Ali Omar Almadoodi, pemilik syarikat Al-Rawda,’’ katanya.
Beliau memberitahu, sejak Mac 2019 Al-Rawda telah gagal membayar pendapatan sewa dan TH telah menjalankan prosiding penguatkuasaan di Arab Saudi.
‘’Prosiding timbang tara yang dimulakan oleh Al-Rawda terhadap TH telah diselesaikan melalui Keputusan Akhir bertarikh 16 April 2023 yang memihak kepada TH. Al-Rawda diarahkan membayar SAR899 juta.
‘’TH telah mengambil segala langkah penguatkuasaan terhadap Al Rawda. Walau bagaimanapun Al Rawda telah didapati tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar amaun tersebut. Pada November 2024, TH dan Al Rawda telah memasuki Perjanjian Penyelesaian sebagai usaha untuk mendapatkan kembali jumlah SAR899 juta,’’ katanya.
Dr.Zulkifli berkata, Al Rawda hanya membayar sebahagian dari amaun yang dipersetujui sebanyak SAR14.9 juta sebelum gagal mematuhi terma Perjanjian Penyelesaian.
‘’TH telah menamatkan Perjanjian Penyelesaian tersebut dan meneruskan usaha untuk mendapatkan baki award timbang tara. Ini termasuklah melantik syarikat perunding yang mempunyai kepakaran untuk melakukan penjejakan aset (asset tracing),’’ katanya.
Mengenai FGV, beliau berkata, penyenaraian FGV didendang sebagai kejayaan IPO terbesar negara mengumpul lebih RM10 bilion, tetapi akhirnya TH berhadapan kerugian lebih RM1 bilion.
‘’Ketika harga saham menjunam, TH terus memegang saham walaupun nilainya jatuh lebih 80%, dan hanya membuat perubahan dasar rosot nilai untuk ‘sorok’ dan mengaburi kerugian,’’katanya.
Dalam penerangan itu, Dr.Zulkifli juga menyentuh dapatan RCI TH berkaitan tindakan TH melabur dalam Putrajaya Perdana, meletak Pengerusi TH ketika itu sebagai “Pengerusi Putrajaya Perdana, dan kemudian syarikat terheret dalam urus niaga 1MDB. Akhirnya, TH rugi RM145.3 juta.
‘’TH juga telah membeli tanah di TRX daripada 1MDB ketika kontroversi sedang memuncak. Persoalan besar timbul apabila CEO TH juga merupakan ahli lembaga pengarah 1MDB. Adakah pelaburan ketika itu untuk kepentingan TH, atau menyelesaikan masalah pihak lain?,’’ tegasnya.





