JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan sebanyak 34 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan imigresen selepas menyerbu penempatan mereka di Pangsapuri Seri Nipah di Subang Jaya malam tadi.
Operasi yang bermula jam 11 malam itu menyasarkan kawasan penempatan yang mempunyai kehadiran warga asing yang tinggi.
Dalam serbuan itu, sebanyak 280 warga asing telah diperiksa dan JIM bertindak menahan 34 daripada mereka atas pelbagai kesalahan imigresen.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 23 lelaki dan 11 perempuan berusia antara 20 hingga 40 tahun terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Thailand dan negara lain.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan memiliki kad tidak diiktiraf.
Dalam operasi itu, terdapat penghuni yang enggan membuka pintu walaupun beberapa kali diketuk anggota penguat kuasa manakala sebahagian lain turut cuba melarikan diri ketika operasi dijalankan.
Sementara itu, penduduk mendakwa kehadiran warga asing yang semakin ramai menimbulkan masalah seperti mabuk, terlibat pergaduhan dan membuat bising.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Imran, 29, mendakwa, jumlah warga asing khususnya dari Myanmar dan India semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, kebanyakan mereka dipercayai bekerja di kilang sekitar kawasan berkenaan.
“Saya sekeluarga memang rasa tidak selesa apabila terlalu ramai warga asing di sini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Ismaliza, 28, berkata, jumlah warga asing di kawasan berkenaan kini dilihat lebih ramai berbanding penduduk tempatan.
JIM Selangor memaklumkan, semua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.




