PARLIMEN Malaysia kini berada sepenuhnya di bawah tanggungjawab Majlis Perkhidmatan Parlimen, sekali gus menamatkan bidang kuasa pihak eksekutif terhadap institusi berkenaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penubuhan majlis itu menunaikan salah satu janji kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi.
Beliau berkata, beberapa perkara masih perlu diteliti sepanjang tempoh peralihan, dan Jemaah Menteri akan terus membantu dalam urusan yang memerlukan perhatian.
“Bidang kuasa Parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Negara sekarang adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa Majlis Perkhidmatan Parlimen,” katanya dalam sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi, Putrajaya, hari ini.





