PAS menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya segera mengambil tindakan yang lebih tegas, menyeluruh dan berkesan, serta memastikan setiap titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris didokongi dengan penuh tanggungjawab.
Sehubungan itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas kesal terhadap sikap Kerajaan Negeri Selangor yang dilihat tidak serius mendokong titah Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi di negeri tersebut.
‘’Keprihatinan Baginda terhadap isu ini telah dizahirkan berulang kali, termasuk melalui kenyataan media pihak Istana pada 10 Februari 2026, diikuti dengan titah Baginda semasa pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada 20 April 2026, dan terkini melalui kenyataan tegas pihak Istana semalam,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Shafaruddin Idris Shah bertitah kekal dengan bahawa baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor Darul Ehsan.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pendirian tersebut dibuat setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.
Tuan Ibrahim berkata, teguran berterusan ini jelas menunjukkan bahawa isu penternakan babi di Selangor mendapat perhatian serius daripada baginda.
‘’ Pastinya Baginda maklum bahawa isu ini berkait rapat dengan pencemaran alam sekitar, pengurusan sisa yang tidak memuaskan, sensitiviti masyarakat setempat serta kesejahteraan rakyat.
‘’Namun sehingga kini, reaksi kerajaan negeri masih belum mencerminkan kesungguhan yang sewajarnya, walaupun teguran telah dibuat berulang kali oleh Sultan Selangor,’’ katanya.
Lebih membimbangkan, kata beliau, muncul pula pihak-pihak tertentu yang secara terbuka mengeluarkan kenyataan yang dilihat tidak selari dengan semangat titah Tuanku.
‘’Keadaan ini menimbulkan persoalan terhadap kesungguhan kerajaan negeri dalam mendokong titah baginda serta menangani isu ini secara menyeluruh. Pas memandang serius perkara ini kerana ia bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi turut menyentuh kedaulatan institusi Raja dan kedudukan Sultan sebagai Ketua Negeri.
‘’Kegagalan mendokong titah Tuanku secara bersungguh-sungguh hanya akan membuka ruang kepada pihak tertentu untuk terus mencabar batas yang sepatutnya dihormati,’’ katanya.
Justeru kata Tuan Ibrahin, isu berkenaan perlu ditangani dengan lebih tegas dan konsisten.
‘’Kegagalan menyelesaikan isu yang telah berlarutan hanya akan menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri tidak menterjemahkan komitmen mereka dalam bentuk tindakan sebenar,’’ katanya.
Beliau menegaskan, , menghormati institusi Raja bukan sekadar retorik, tetapi menuntut tindakan yang jelas dan berkesan.
‘Jika teguran Tuanku terus tidak dipedulikan, ia bukan sahaja mencerminkan kelemahan pentadbiran, malah boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri.
‘’Maka jelaslah bahawa rakyat Selangor memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar menjaga kebajikan rakyat, memelihara keharmonian masyarakat dan menjunjung kedudukan institusi Raja serta prinsip Rukun Negara sebagai asas utama pembangunan negeri,’’ katanya.


