POLIS menafikan dakwaan kononnya seorang murid Tahun Lima yang cedera selepas terjatuh dari bumbung garaj basikal di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam, Melaka, Selasa lalu, menjadi mangsa buli.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku akibat kemalangan sendiri ketika murid terbabit cuba mengambil kasut rakannya yang tersangkut di atas bumbung.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika waktu pertukaran kelas.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai membaling kasut rakannya sehingga tersangkut di atas bumbung garaj basikal sebelum cuba memanjat untuk mengambil semula kasut berkenaan.
“Ketika cuba turun semula ke tingkat satu bangunan sekolah, bahagian bumbung yang dipijak mangsa patah menyebabkan dia terjatuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan pada kaki kanan sebelum diberikan bantuan kecemasan oleh pihak sekolah dan dihantar ke Hospital Melaka.
“Mangsa kemudian dipindahkan ke Putra Specialist Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan disahkan mengalami keretakan kecil pada pergelangan kaki kanan.
“Keadaan murid itu dilaporkan stabil,” katanya.
Christopher berkata, siasatan lanjut bersama pasukan forensik dan saksi turut mendapati tiada unsur buli, penganiayaan atau pengabaian berlaku sebelum atau semasa kejadian.
“Mangsa sendiri mengesahkan tiada sebarang unsur buli berlaku,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan.
Kes disiasat di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).
Terdahulu, tular gambar di applikasi WhatsApp memaparkan sebuah ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) di sekolah berserta keterangan seorang murid Tahun 5 terjatuh dari koridor.
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, beliau dimaklumkan kejadian berpunca daripada tindakan murid itu sendiri dan bukan faktor lain.


