`Pas tidak akan jaringkan gol sendiri’ – Ahmad Fadhli jawab Ahmad Zahid

PAS mempunyai matlamat jelas, menewaskan parti lawan dan tidak akan sesekali mengambil tindakan yang akhirnya merugikan parti sendiri.

Itu penegasan Ketua Penerangan parti itu, Ahmad Fadhli Shaari sebagai membalas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya Pas sering menukar pendirian dan sasaran demi kepentingan parti itu.

“Ada yang kata Pas selalu tukar tiang gol. Hakikatnya Pas tetap akan berusaha menjaringkan gol di gawang lawan dan tidak akan sama sekali jaringkan gol sendiri.

“Dalam proses jaringkan gol itulah strategi. Pemain bahkan jurulatih sekali pun sentiasa perlu ditukar ganti jika perlu.

“Jangan bimbang, selagi 90 minit belum berakhir, matlamat jaringkan gol ke gawang lawan tetap berjalan. Pasukan Pas tidak akan bergabung dengan pasukan lawan jaringkan gol sendiri.

“Liga berikutnya di Negeri Sembilan akan menyaksikan Pas mengotakan janji ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan tiada sebarang perjanjian dengan Pas berkait Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, kecuali persefahaman sesama parti sahaja.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengesahkan UMNO tidak pernah memuktamadkan perbincangan dengan Pas, termasuk mengenai kerusi bakal ditandingi pada PRN berkenaan.

Menyifatkan keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai wujudnya kerjasama antara BN dan Pas, Ahmad Zahid mengibaratkan apa yang diperkatakan oleh Ahli Parlimen Marang itu sebagai kenyataan politik semata-mata.

“Jadi, janganlah positif sangat dengan mereka ini tetapi kita cuma boleh bersangka baik saja.

“Mereka ini boleh tukar goalpost (sasaran) bila-bila masa. Jadi, saya menganggap itu sebagai satu kenyataan politik saja,” katanya.

Reaksi Ahmad Zahid itu susulan kenyataan Abdul Hadi semalam yang Pas bersedia menerima calon Menteri Besar Negeri Sembilan daripada UMNO, sekiranya kerjasama di antara dua parti itu berjaya dimuktamadkan dan seterusnya memenangi PRN pada 1 Ogos ini.

Menurut Abdul Hadi, rundingan berkaitan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi di antara kedua-dua pihak sedang berjalan, sambil menyifatkan ia berlangsung positif.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img