ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Malaysia memandang serius pendedahan mutakhir berhubung dakwaan penyaluran dana asing berjumlah RM1.5 juta kepada ahli politik, individu serta pertubuhan tertentu yang diterima daripada sebuah yayasan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim mendakwa, dana tersebut dipercayai digunakan bagi menggerakkan propaganda politik, operasi tentera siber dan provokasi jalanan atas nama demokrasi serta hak asasi manusia.
Menurutnya, dakwaan ini bukan lagi boleh dianggap sekadar polemik politik biasa kerana ia menyentuh soal keselamatan, kedaulatan politik serta kestabilan institusi demokrasi negara.
Dakwa beliau, mana-mana gerakan yang menerima dan menyalahguna pembiayaan luar untuk mencatur naratif politik domestik secara tersusun perlu disiasat secara menyeluruh dan telus tanpa kompromi.
“Laporan serta maklumat yang beredar ketika ini mendakwa wujud transaksi kewangan melibatkan The Tides Foundation yang berpangkalan di AS kepada sebuah syarikat tempatan iaitu MANDIRI Development Centre Sdn Bhd (MANDIRI) melalui beberapa transaksi bernilai keseluruhan lebih RM1.5 juta.
“Ia membabitkan tiga transaksi bertarikh pada 27 November 2024 berjumlah RM233,322.20, pada 12 Mac 2025 berjumlah RM658,555.00 dan pada 6 Jun 2025 berjumlah RM628,270.00.
“Maklumat tersebut juga mendakwa bahawa sepanjang tahun 2024 hingga 2025, sebanyak tujuh transaksi berjumlah RM 686,729.00 telah dibuat terhadap seorang individu dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan MANDIRI,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Kamil mendakwa, dana tersebut turut didakwa mempunyai kaitan dengan gerakan politik pihak tertentu termasuk pembiayaan operasi media sosial serta mobilisasi protes jalanan bagi tujuan membina persepsi dan naratif kebencian terhadap kerajaan seterusnya menggugat kestabilan politik negara.
Beliau menegaskan, sekiranya dakwaan ini benar, maka perkara ini adalah sesuatu yang amat berbahaya kerana negara tidak boleh sesekali menjadi medan eksperimen geopolitik kuasa asing yang mahu mencatur landskap politik negara melalui proksi tempatan.
“Campur tangan sebegini bukan sahaja menghakis kedaulatan negara, malah berpotensi mencetuskan ketidaktentuan politik yang akhirnya memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat, keyakinan pelabur dan kestabilan sosial negara.
“AMK menegaskan bahawa alasan kebebasan dan demokrasi tidak boleh dijadikan perisai untuk menghalalkan sebarang aktiviti yang melibatkan penggunaan serta penyelewangan dana asing bagi kegiatan politik yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara,” tegas beliau.
Sehubungan itu, kata Muhammad Kamil, AMK mendesak agar Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi keselamatan berkaitan segera menjalankan siasatan terperinci, bebas dan menyeluruh terhadap semua pihak yang dikaitkan dalam pendedahan ini tanpa mengira latar belakang politik atau kedudukan mereka.
Katanya lagi, sebarang pelanggaran undang-undang perlu diambil tindakan tegas di bawah peruntukan sedia ada termasuk Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Akta Pertubuhan 1966 sekiranya terdapat unsur ancaman terhadap keselamatan negara, pengubahan wang haram atau penyalahgunaan dana asing untuk tujuan politik yang menyalahi undang-undang.
Tegas beliau, Malaysia sedang berdepan cabaran ekonomi global yang semakin mencabar. Dalam keadaan ini, negara memerlukan kestabilan politik dan keyakinan institusi yang kukuh.
“Sebarang usaha bagi tujuan menggugat kestabilan negara melalui pembiayaan asing dan manipulasi politik secara tersusun mesti dihentikan segera sebelum ia menjadi ancaman yang lebih besar kepada masa depan negara.
“Rakyat Malaysia sewajarnya diberikan penjelasan tuntas, manakala tindakan penguatkuasaan yang tegas perlu diambil segera bagi membuktikan bahawa kedaulatan negara tidak boleh dipersendakan oleh mana-mana pihak, tegas beliau.
Sementara itu, utusanmelayuplus sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada pengurusan syarikat MANDIRI berhubung dakwaan ini.


