KETUA Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan keputusan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menetapkan peletakan jawatannya hanya berkuat kuasa selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari penjara untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Ahmad Fadhli berkata, surat peletakan jawatan yang melibatkan urusan rasmi kerajaan sepatutnya mempunyai tarikh kuat kuasa yang jelas dan tidak bergantung kepada perkembangan membabitkan individu lain.
“Surat peletakan jawatan ini satu perkara yang serius yang melibatkan urusan rasmi kerajaan.
“Jika benar ia sudah dihantar, bagaimana anda menulis surat dengan tarikh kuat kuasa yang tiada kaitan secara langsung?.
“Atau anda sudah tahu bila Najib akan balik ke rumah?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anthony hari ini mengesahkan beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP itu berkata, peletakan jawatannya hanya akan berkuat kuasa apabila Najib keluar dari penjara bagi menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Ahmad Fadhli kemudian menyindir keputusan berkenaan dengan mempersoalkan alasan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan ditetapkan berdasarkan perkembangan berkaitan Najib.
“Harap tiada yang menulis surat letak jawatan dengan tarikh kuat kuasa apabila bulan mengambang atau apabila Perdana Menteri bertukar.
“Begini sahajalah, daripada anda berdrama, cukup-cukuplah. Pegang sahaja jawatan itu sampai gugur semua Kabinet, kan mudah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden turut mengkritik keputusan Anthony dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang mengundang persoalan.
“Hebat juga Najib, situasi beliau boleh menentukan bila nak letak jawatan.
“Beliau dilaporkan nak tunggu Najib balik rumah, baru kuat kuasa letak jawatan. Ini memang lawak,” katanya.
Menurut Afnan Hamimi, sekiranya keputusan meletakkan jawatan dibuat atas dasar prinsip, tindakan itu tidak sepatutnya bergantung kepada lokasi Najib menjalani hukuman.
“Orang yang ada prinsip, kalau janji nak letak jawatan, letak sahajalah.
“Prinsip tak perlu ikut tempat atau lokasi. Prinsip tidak perlu tunggu sama ada duduk dalam penjara atau balik rumah,” katanya.
Beliau berkata, keputusan berkaitan tahanan rumah Najib telah dibuat, namun pelaksanaannya masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
“Keputusan dah ada, cuma keputusan itu belum kuat kuasa lagi, mungkin sebab belum jelaskan bayaran denda RM50 juta.
“Kalau beliau ada prinsip, sepatutnya terus letak jawatan lepas keluar keputusan, bukan tunggu Najib balik rumah,” katanya lagi.





