POLIS sedang giat mengesan seorang lelaki yang disyaki melakukan gangguan tidak senonoh terhadap seorang wanita di gelanggang bola keranjang Taman Hill Top, Luyang, Kota Kinabalu selepas kejadian itu tular di media sosial.
Kejadian dipercayai berlaku pada 29 Julai lalu dan mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Luyang bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab. Rahman berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, polis kini sedang menjalankan pelbagai tindakan bagi mengesan suspek secepat mungkin.
“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan menerusi pelbagai tindakan siasatan termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengesan serta merakam percakapan saksi yang berpotensi selain mengumpul maklumat risikan bagi mengenal pasti suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan, polis turut meningkatkan rondaan cegah jenayah di sekitar Taman Hill Top dan kawasan tumpuan awam lain di bandar raya ini.
Katanya, rondaan berkenaan membabitkan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta anggota Balai Polis Luyang, khususnya pada waktu malam.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Balai Polis Luyang di talian 088-253470, Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-221191 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.






