Pekebun dijel setahun, larikan beg berisi RM40,000 milik warga emas

SEORANG pekebun dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini selepas mengaku bersalah melarikan beg berisi wang tunai RM40,000 milik seorang warga emas, Sabtu lalu.

Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Hermi Abdurasmin, 26, selepas mengambil kira pengakuan bersalahnya.

Mengikut pertuduhan, Hermi didakwa mencuri wang tunai milik wanita berusia 63 tahun di Jalan Meng Seng, Yong Peng, kira-kira jam 3.18 petang, 11 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa meletakkan beg berisi wang tunai di dalam kenderaan yang tidak berkunci.

Bagaimanapun, selepas kembali kira-kira dua jam kemudian, mangsa mendapati beg berkenaan sudah hilang sebelum membuat laporan polis.

Susulan laporan itu, polis menahan tertuduh pada petang keesokan harinya bagi membantu siasatan.

Tertuduh kemudian membawa polis ke sebuah pondok dan menunjukkan lokasi wang tunai itu disembunyikan di bawah serumpun serai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img