Hasrat UMNO Kedah dan cadangan Tok Mat Hasan tak relevan

ADA dua perkara yang mendapat perhatian penulis sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.

Pertama, Wakil UMNO Kedah, Datuk Saifol Bahri Zainol menyatakan UMNO di negeri itu hanya mahu bekerjasama dengan Pas. Kedua  Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Pas perlu membubarkan DUN di salah satu negeri yang diperintah khususnya Terengganu bagi membuktikan keikhlasan Pas bekerjasama dengan UMNO.

Hakikatnya kalau melihat kepada senario termasuk di negeri SG4 – Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, kedua-dua hasrat dan cadangan itu tidak relevan.

Ia kerana BN hanya ada dua kerusi DUN di Kelantan tetapi tiada kerusi Parlimen, di Perlis,Kedah dan Terengganu, BN kerusi DUN pun tak ada, kerusi Parlimen pun tak menang… maknanya Parlimen 0,DUN 0.

Tetapi tiba-tiba UMNO Kedah hanya mahu berunding dengan Pas manakala Tok Mat Hasan minta bubar DUN di negeri SG4 tersebut..untuk apa? Apa hebat sangat ke UMNO Kedah? Sedangkan kalau ikut dari segi kerusi UMNO Kedah sama taraf saja dengan Amanah yang tidak ada kerusi DUN dan Parlimen di negeri Jelapang Padi berkenaan.

Begitu juga cadangan Tok Mat Hasan, penulis kata tak salah..biasalah politik cadang mencadang, cabar mencabar ini. Cuma penulis rasa tak sesuai kalau setakat nak uji keikhlasan sampai nak kena bubar DUN. Belanja bukan sedikit bila nak buat pilihan raya walaupun untuk satu kerusi DUN…berjuta-juta ringgit jugak.

Lagipun tempoh pemerintahan negeri-negeri itu lambat lagi. Perlis tamat tempoh pemerintahan 18 Disember 2027,Kelantan 4 September 2028, Kedah 24 September 2028 dan Terengganu antara 23 September hingga 30 September 2028.

Masih banyak lagi program-program mahu dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan negeri berkenaan demi rakyat dan bukannya hendak menyusahkan rakyat dengan mengadakan pilihan raya sekadar mahu menguji keikhlasan.

Kalau setakat nak uji keikhlasan, buat sahaja rundingan secara komprensif berkaitan pembahagian kerusi antara UMNO dan Pas bagi menghadapi pilihan raya di semua negeri termasuk empat negeri’ idaman’ itu.

Dari situ,  UMNO boleh tahu sama ada Pas ikhlas atau tidak dan Pas pula bolehlah jugak tahu sejauhmanakah  kekuatan UMNO di empat negeri itu. Apa kata selagi UMNO tidak tahu sejauh mana keikhlasan Pas, masing-masing  turun bertanding secara solo.

Mulakan di Melaka. Tak apa memang betul pun UMNO berhak pertahankan 21 kerusi DUN yang dimenanginya tetapi pada masa yang sama Pas juga berhak bertanding di kesemua kerusi tersebut.

Dari situ boleh diketahui sejauhmanakah kekuatan UMNO. Adakah orang Melayu sudah benar-benar kembali keapda parti itu memandangkan Dewan Merdeka sudah digegarkan dengan laungan BN bangkit dan mahu dominan dalam terajui memerintah negara.

Tetapi pada penulis, kalaupun nak buat PRN,  terdapat dua negeri yang paling sesuai khususnya bagi menguji apakah tanpa sokongan rakyat keseluruhannya kepada BN. Buat yang ini dulu barulah minta Pas bubar negeri dikuasai mereka.

Dua negeri yang penulis maksudnya ialah Pahang dan Perak. Di Pahang, kekuatan UMNO dan Pas agak seimbang. UMNO menang 16 kerusi DUN, Pas menang 15 DUN kerusi. Keseluruhan UMNO-BN menang 17 daripada 42 kerusi DUN di Pahang – satu kerusi disumbang oleh MIC dan di Perak UMNO menang 9 daripada 59 kerusi yang dipertandingkan.

Untuk menubuhkan kerajaan di Pahang, majoriti mudah yang diperlukan ialah 22 kerusi manakala di Perak majoriti mudah ialah 30 kerusi. Bagaimanapun UMNO terus menjadi Menteri Besar di kedua-dua negeri itu hasil kesepakatan dengan PH.

Itu tak ada masalah. Adalah menjadi hak UMNO-BN untuk bekerjasama dengan siapapun tetapi di kedua-dua negeri itulah medan paling sesuai bagi UMNO dan Pas menguji siapa paling kuat.

Lagipun kalau ikut kajian yang dijalankan oleh UMNO Pahang apapun pendekatan politik yang diambil oleh parti itu dalam menghadapi PRN..UMNO tetap menang manakala UMNO Perak pun yakin boleh bangkit semula.

Jadi buatlah pilihan raya di salah satu negeri tersebut. Selepas itu baharulah bercakap soal dengan siapa UMNO paling layak berunding untuk bekerjasama dan siapa sebenarnya patut ikhlas dalam menjalin kerjasama politik antara kedua-dua parti.

Ini pandangan ikhlas penulis. Mungkin UMNO Kedah dan Tok Mat Hasan ada alasan tersendiri, cuma nampak tak cantik sebab UMNO baru menang selesa di Johor dan kembali memerintah Negeri Sembilan, takut nanti orang kata ‘menang sikit dah angkuh’. Walaupun mereka tidak berniat demikian tetapi politik tidak boleh lari daripada persepsi

Cuma penulis minta janganlah rakyat dan pilihan raya dijadikan medan uji kaji politik mana-mana parti…itu saja. Tunggu sahaja tempoh penggal DUN setiap negeri tamat lepas tu bertarung dalam pilihan raya.Gandingan mana paling sesuai dan siapa yang iklhas biarlah rakyat tentukan…betul tak?



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here